TARIKH : 07 - 11 April 2012 ( sebahagian maklumat dipetik dari Blog Lensa SMKTTJ ).
Saya adalah wakil guru dari Persatuan BADAR SMKTTJ yang turut sama dalam Program Lawatan Kolaborasi tersebut untuk mengumpul maklumat berkenaan dengan aktiviti-aktiviti keagamaan yang telah dilaksanakan di Bandung seterusnya dapat diaplikasikan oleh ahli BADAR SMKTTJ.
Kami telah berkunjung ke beberapa buah sekolah dan tempat-tempat yang menarik di kota Bandung. Di blog ini saya akan fokuskan tentang beberapa aktiviti keagamaan yang terdapat di sana sepanjang tempoh lawatan tersebut.
* SMAN 3
SMAN 3, iaitu salah sebuah sekolah menengah atas yang popular di Bandung
terutamanya dalam aktiviti ko-kurikulum.
Apa yang istimewanya tentang SMAN 13 ialah setiap aktiviti yang
dijalankan sama ada di persekitaran sekolah mahupun di luar sekolah,
malahan di negara-negara luar tidak dibiayai oleh pihak sekolah. Kos
untuk pelajar bergerak di luar sekolah dan menjejak ke negara luar
dikumpul sendiri oleh pelajar serta disumbang oleh para alumni. Peranan
alumninya begitu besar sehingga sekolah mampu menukar segala macam
prasarana sekolah untuk memastikan adik-adik juga anak-anak yang masih
bersekolah di SMAN 13 dapat belajar dalam keadaan selesa.
Berusia antara 16 hingga 19 tahun merupakan satu kelainan budaya buat
kami. Setiap kelas mempunyai pelajar seawal usia 16 tahun dan mereka
belajar mengikut mata pelajaran yang dipilih terutamanya mata pelajaran
fizik, biologi, kimia dan matematik bukan mengikut umur. Malahan, kami
juga terpegun apabila kesemua pelajar membawa Black Berry ke sekolah dan
setiap waktu belajar mereka akan mematikannya.
Rombongan kami dibawa oleh Ibu Heli dan disambut oleh Kepala Sekolah
iaitu Drs. H. Enceng dan para guru. Walaupun kawasannya tidak begitu
luas tetapi keceriaan dan kebersihan persekitarannya membuatkan kami
terpegun kerana pelajarnya begitu berdisiplin dalam menjaga segala
prasarana sekolah. Semangat berdikari atau mandiri para pelajarnya
harus menjadi sebahagian daripada asas dalam sistem pembelajaran
sekolah-sekolah di Malaysia supaya setiap dari kita tahu untuk
menghargai dan dihargai dan tidak bergantung harap kepada orang lain
sekiranya kita mahu maju ke hadapan.
Saya amat tertarik dengan ucapan Kepala Sekolahnya yang sentiasa menekankan nilai-nilai kegamaan untuk mewujudkan sekolah yang beriklim dini. Beliau juga menegaskan bahawa setiap guru yang mengajardi SMAN 3 haruslah menekankan nilai-nilai kerohanian dalam P&P ( Agama merentasi kurikulum ). Pendidikan bukanlah semata-mata untuk mendapatkan ilmu pengetahuan bahkan juga untuk membentuk aklak dan keperibadian yang mulia.
* RUMAH ZAKAT
Perjalanan diteruskan ke lokasi berikutnya iaitu Rumah Zakat yang
dibangunkan untuk membantu penduduk yang miskin di seluruh Bandung
malahan Indonesia. Dalam perjalanan menuju ke rumah zakat, kami telah
menerima satu pesanan ringkas dari Malaysia yang bertarikh 09 April
2012. Salah seorang rakan kami iaitu Puan Fadhilah Hashim telah
kehilangan orang tersayang, Encik Azmi, yang telah kembali ke
rahmatullah. Doa kami di perantauan moga Puan Fadhilah dan keluarga
tabah mengahadapi dugaan Allah atas pemergian suami yang dicintai.
Kami tiba di perkarangan masjid Rumah Zakat dan mengerjakan solat Zuhur
serta Asar. kemudian kami dibawa ke pejabat urusan Rumah Zakat dan
disambut oleh Ibu Azla (maaf kalau berlaku kesilapan). Rombongan diberi
penerangan tentang peranan dan kepentingan Rumah Zakat dalam
membangunkan ekonomi masyarakat Islam di Indonesia.
Kami begitu kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh anak-anak muda ( Karyawan ) yang sanggup bekerja secara sukarela untuk mengumpul dana zakat bagi membangunkan masyarakat Islam Bandung khasnya dan Indonesia amnya. Ketika kunjungan kami tiba mereka sedang melaksanakan solat zuhur secara berjamaah dan membaca ayat-ayat quran sebelum menyambung semula kerja-kerja kebajikan. Slogan yang digunakan begitu bermakna sekali " Jadikanlah kami bermanfaat untuk semua ". " Bawalah kami ke syurgaMu.......".
Selepas sesi videografi bersama RTM yang dikendalikan oleh Encik Dzul
Hanafiah dan Encik Md Shah, kami bergerak ke Sekolah Dasar iaitu sekolah
kendalian Rumah Zakat. Di sini kami begitu tersentuh melihat segala
prasarana sekolah yang digunapakai semula oleh pihak pentadbiran dan
segala kreativiti membuatkan pelajar tidak mengeluh mahupun memberi
sebarang komen pada apa kekurangan yang ada.
Oleh itu, sebagai warga yang mana negaranya lebih maju dan mampu
meretasi halangan kemiskinan, kita seharusnya menggunakan segala
kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan sebaik mungkin demi
memartabatkan diri dan masyarakat di mata dunia.
* PESANTREN Aa GYM
Jam
menunjukkan hampir pukul 4 petang waktu Indonesia. Akhirnya,kami sampai di Pesanten Aa Gym atau Darrut Tauhid iaitu rumah
pondok moden yang menyediakan kemudahan hotel untuk para tetamu yang
bertandang ke Bandung, hostel untuk pelajar yang belajar ilmu keagamaan
iaitu mengenai Islam serta hostel kepada sesiapa sahaja yang ingin
belajar ilmu agama di Darrut Tauhid. Kami disambut oleh Aep Saipudin
yang banyak memberi informasi berguna kepada ahli rombongan.
Aa Gym ialah nama bagi pengasas Darrut Tauhid iaitu KH. Abdullah
Gymnastiar yang tidak mahu dirinya dipanggil Kiai mahupun ustaz dan
mempunyai 7 orang anak serta 5 orang anak angkat. Berkonsepkan Kalbu
yang mempunyai moto Dzikir, Fikir dan Ikhtiar, Darrut Tauhid telah
mengembangkan sayapnya ke Jakarta dan Batam.
Berada di sini cukup tenang dan nyaman sekali. Ternyata pengasasnya begitu hebat sekali dan mengambil berat tentang ilmu keagamaan sehingga terbinanya perkampungan ilmu ini. Mereka yang dahagakan ilmu agama sanggup datang ke sini meninggalkan kampung halaman untuk seketika kerana di pondok moden ini menyediakan pelbagai kemudahan seperti tempat tinggal, pusat perniagaan, surau dan sebagainya.
RUMUSAN LAWATAN : ( rumusan dari Blog Bicara Seorang pengetua)
Apa yang dapat saya rumuskan hasil dapatan daripada lawatan tersebut yang dapat kita aplikasikan untuk warga SMKTTJ dengan kerjasama BADAR antaranya :
1. Dapat mempelajari budaya kerja cemerlang di SMAN 3, Rumah Zakat dan Pasantren AaGym.
2. Memberi pendedahan minda para pelajar kepada budaya
cemerlang dalam Pendidikan Indonesia.
3. Penerapan nilai-nilai dan budaya Islam
di dalam pendidikan dan sahsiah pelajarnya. Pembentukan karektor juga
sesuatu yang boleh dipelajari.
4. Para siswa di sini digalakkan menimba
ilmu dan berdikari. Visi untuk menjadikan para pelajar sebagai pemimpin
Indonesia, kaya dan berdikari , merupakan sesuatu yang menakjubkan.
5. Budaya Kerja Cemerlang ( RUMAH ZAKAT ) Kegigihan para pekerjanya yang
berketrampilan , dan mengamalkan budaya Islam yang kuat, merupakan
sesuatu yang menarik untuk diteladani. Sesuatu yang mengkagumkan, di
dalam keadaan mereka yang serba kepayahan, mereka begitu gigih sehingga
dapat menghasilkan kejayaan yang di luar dugaan. Salah satu rahsia yang
dinyatakan ialah , amalan mengikuti segala ajaran Islam yang kukuh dan
membaca Al-Quran setiap masa sebagai sumber kekuatan mereka.
6. Masyarakat
Indonesia, khususnya di Bandung amat gigih, kreatif dan innovatif.
Merka mencari rezeki dengan pelbagai cara dan tektik. Pelbagai barangan
dijual sehinggakan ia sesuatu yang hampir kita tidak percaya.
7. Kegigihan
dan kesungguhan mereka memelihara keindahan alam sekitar dan tempat
menarik pelancong , amatlah membanggakan kita. Negara dan masyarakat
kita harus belajar dan mengikuti cara mereka menjadikan industri
pelancongan berasaskan alam sekitar sesuatu yang menguntungkan.
Akhirnya, semoga apa yang telah kita lawati dan pelajari di sana dapat dilaksanakan di SMKTTJ demi untuk memartabatkan agama dan anak bangsa tercinta. Kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan agar segala impian yang kita rancang dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Tahniah kepada semua anggota
rombongan yang telah menunjukkan kerjasama dan disiplin yang tinggi pada
sepanjang lawatan. InsyaAllah, program seterusnya akan kita rancang
lagi dengan kerjasama yang lebih kukuh dan bermakna.